Tuesday, 17 April 2018

Officemate


Kisah semalam.

Kami memang ada group wassap Srikandi Firdausi. Group kami para isteri yang negatif dan para suami positif HIV. Alhamdulillah kami semua para isteri yang sihat walafiat.

Seronok juga lah group tu sebab masing-masing akan berbicara dan berkongsi segala rasa lelah yang terpendam dalam hati. Semua berfikiran terbuka. 

Cuma aku kurang menyerlah. Kurang berbual. Tapi aku masih mengambil tahu apa yang berlaku di situ. Jarang sekali aku scrool begitu sahaja. Baca jugaklah perkara-perkara yang dibincang kat situ.

Pernah juga aku rasa takut dan seram dalam group tu, bukanlah seram sebab apa...  Cuma sebab aku takut suatu hari nanti aku akan berjumpa dengan orang yang aku kenali dalam tu. 

Akhirnya semalam. YA. 

Aku kenal seseorang dalam tu. Officemate aku. Ya Tuhan. Perkara yang aku mahu elak benar-benar terjadi. Isteri kepada officemate aku. 

Officemate aku tu lelaki dan baru je berkahwin baru-baru ni. Aku dapat kenal pasti selepas mengenalpasti nama tu macam familiar dan berasal dari sebuah negeri itu. Aku double check DP dalam wassap tu. YA MEMANG SAH. Ada muka bersama suami. Memang aku kenal.

Aku jadi macam... Hmm. 

Tapi si isteri tak la kenal aku. Aku memperkenalkan diri selepas itu. Aku PM dan bertanya khabar. 

Sampai sekarang officemate aku tu tak tau pun yang aku tau. Aku buat tak endah je. Malas nak panjangkan dan keruhkan keadaan. Sebab si isteri pun menyatakan agar terus merahsiakan benda ni. Tak apalah, semoga beliau sihat hendaknya. 

Aku kalau boleh juga, biarlah dalam office tak ada yang tau status suami aku juga. 

Aku hanya mampu mendoakan yang terbaik. Jaga kesihatan apatah lagi virus masih ada dan baru sangat mulakan rawatan HAART. 

Harap lepas ni tak ada dah orang yang aku kenal senasib dengan  apa yang aku lalui. Mintak sangat. 


Friday, 12 January 2018

Temu Janji di HSB

Terasa rajin nak update cerita.

Masa cuti akhir tahun lepas, Disember 2017. Aku & suami dapat tarikh untuk janji temu doktor. Katanya nak cek darah aku juga sebagai isteri. So far belum pernah lah aku cek darah secara temu janji begitu dengan suami. Ini merupakan first time. Tapi dah pernah cek masa buat buku merah jambu. Cuma situasi dia aku tak ada la buat pengakuan status suami.

Maka semangat lah aku pagi itu. Siap awal pagi dengan cik Abang dan si kecik sedondon baju putih bersama-sama. Nampak comel gitu. Jarang nak sedondon. Siap bancuh susu coklat sebelum pergi, tertumpah pulak dekat baju, ko ghase? HAHA. Itupun aku nak cerita kan.

Next.

So pertemuan dekat Hospital Rehab tuh, takdela sesak sangat kat kawasan situ. Bila sampai sana ramai juga rupanya yang sedang tunggu turn jumpa doktor & nak ambik darah. Pasaipa masa tu dorang pandang aku semacam jer. Aku pun pandang balik. Mungkin la dorang tertanya-tanya kenapa aku menyibuk kat situ. HIHI.

Tapi...

Bila aku sampai sana, cakap itu ini dan bagitau status aku yang sedang mengandung lagi anak ke dua. Terus bilang cancel ambik darah aku. Sebab katanya sebab memang dah tau status aku NON REAKTIF masa buat buku pink tuuu. Gitu lah plak. Tapi logik la kan.

So aku datang haritu hanya meneman cik abang saja lah. Cuma pegawai kesihatan kat situ nasihatkan aku, agar menyatakan status aku di Klinik Kesihatan tempat aku buat check up setiap bulan.

Aku angguk cakap Ya ja. Tapi sebenarnya, aku tak mampu dan sekuat itu. Sebab... majoriti opismate aku buat check up di situ & nurse-nurse pun kenal sesama kami. So paham sendiri aje la dong.

Harap nanti bulan 6 CD4 & viral load cik abang berada dalam keadaan baik. Ameen.

Wednesday, 10 January 2018

Selamat Tahun Baru 2018


Lambat 10 hari pos Selamat Tahun Baru. Tiba-tiba bukak lappy ni terus sign in sini. Lap habuk kejap.

Semoga kalian terus berbahagia dan kekal sihat hendaknya. Amin.

Macam jiwa kacau sikit lah, tapi rasa macam patut tak patut je nak share. Permulaan 2018 yang agak tidak bagus. Aduhai. Konon-konon nak jadi insan yang tenang dan malas nak fikir banyak. Tapi siapalah kita untuk tidak bermasalah.

Dugaan rumah tangga barangkali.

Barangkali emosi aku yang terlebih.

Nanti lah aku cerita kotla kalau nak cerita. Kot cerita next post 2019. Haih. Tak mustahil tu. Apa pun, baby dalam tummy ni dah tendang-tendang. 5 bulan dah. Berdebar jugak rasanya nak menanti May nih. Harap-harap dapat bersalin normal.

Ok nak sambung kerja.

Selamat Tahun Baru 2018. Doakan kesejahteraan aku juga ya.

Monday, 6 November 2017

Edisi Emosi

...

Aku makin diam sekarnag dan menjadi pemikir.
Banyak sangat difikir.
Tak baik untuk aku dan baby.

BEGINI.

Aku rasa.

Terkelu.
Ditelan mati emak.
Diluah mati bapak.

Ini sekadar catatan emosi.
Hanya mampu mencoret di sini.

Alkisah.
Baru-baru ini ada ahli keluarga yang terdekat mengetahui berita bakal cahaya mata kedua.

Namun.
Seperti yang dijangka.
Emosi aku remuk redam.

Sukarnya menjangka emosi bukan?

Emosi sendiri pun sukar untuk dijaga.
Apatah lagi emosi insan lain yang kita tidak tahu apa yang difikirkannya.

Bila aku fikir balik.
Sebenarnya beliau barangkali sangat menyayangi aku dan si kecik.
Apatah lagi dengan keadaan suami yang jauh.
Namun mahu menambah si kecik lagi.
Khuatir aku tidak mampu untuk menangani.

Namun bertambah terkilan.
Satu persatu persoalan dirungkai.
Soal kewangan aku dan suami pun turut dipersoal.

Aku terkedu.

Sejauh ini rasa bimbang itu?

Tak mengapalah.
Rezeki bakal anak itu akan ada.
InshaAllah.

Maafkan aku tidak mampu menyenangkan hati semua orang.
Sebab itu aku agak menyendiri.
Pulang ke kampung terasa berat hati.

Ah abaikan perasaan ini.

Kesihatan aku, suami dan si kecik patut lebih menjadi keutamaan.
Ini sekadar dugaan angin lalu.

Gitu lah kot.

Saturday, 14 October 2017

Mungkin suatu hari nanti...

Sekali lagi.
Perihal keluarga menjadi nadi persoalan. Masa blog walking tempoh hari ada jumpa satu belog yang senasib dengan aku, then aku merasakan beliau adalah duta kecil untuk menghilangkan rasa stigma pada keluarga beliau.
Sangat bangga weyh dengan kekuatan beliau!
Kekuatan macam tu yang aku NAK sangat. Tapi hati aku ni berdolah dalih sebab kekuatan tu belum ada pada Encik Suami.
Takkan aku nak memandai-mandai.

Kan?

Takut nanti over konfiden. Dorang pandang aku sebelah mata ja? Camne nak buat tu? Last-last aku menangis hujung katil sorang diri.

Semoga kekuatan itu akan datang pada aku nanti. Doakan ya!

Muah!

Thursday, 12 October 2017

Rezeki Anak ke 2

Hai Oktober.

Alhamdulillah. Tuhan beri kami rezeki cahaya mata ke dua. Genap 8 minggu hari ni. Maka jangkaan bersalin bulan 5 2018. Masa puasa kan tu? hadoi.

Masa mula-mula dapat tau tu termenung panjang. Anak sulung kecik lagi weh. Baru ngam setahun! Jalan pun belum pandai lagi.

Boleh ke aku nak kata eksiden anak ke dua ni? Hihi.

Takpelah anggap je rezeki kami. Keluarga pun aku tak bagitau lagi sebenarnya. Sebab aku rasa macam so surprise. Tunggu nantilah perut dah membesar. Baru diorang tahu sendiri.

Apa pun, semoga bakal baby & aku akan terus berada dalam keadaan sihat walafiat.

Ameen.


Tuesday, 4 July 2017

Syawal Day 9

Cepat sungguh masa berlalu. Ucapan ramadan pun tak ada. Tau-tau ucapan syawal je pulak yang muncul. 

Apa pun, Selamat Hari Raya Aidilfitri buat kalian yang singgah di teratak aku yang selalu bersawang ni. 

Ada teguran sahabat luar yang menyarankan aku untuk terus mencoret di sini. InshaAllah. Aku akan cuba sehabis baik. Namun bukanlah coretan harian. Sebab aku ni ada je masa kadang-kadang. Tapi aku rasa macam malas nak mengarang dah. 

Padahal aku terel mengarang. HAHA. (abaikan)

Aku sekarang ada penyakit malas nak reply wassap. Malas nak reply komen di FB, IG dan sebagainya. Suka pos & baca komen orang sahaja. Pelik tapi benar. 

Raya baru-baru ni, alhamdulillah sangat manis bagi aku dan suami. Si kecik dah 09 bulan. Pandai nak manja-manja dengan papa. Bila nak mama masa nak tidur & susu sahaja. 

Sebenarnya nak cakap. Aku masih lagi kerap peroleh email dari insan di luar sana yang sedang buntu dan memerlukan kekuatan. Dan aku dapat rasakan, mereka mencari kekuatan dan terbaca belog nih. Tapi aku selalu lewat respons. 

Sebab jarang bukak email ini. 

NASIHAT DARI HATI AKU...

Buka minda & hati untuk menjadi insan yang IKHLAS. Ikhlas pada diri. Pada pasangan. Pada TUHAN. 

Sekiranya hati kita masih rasa terpaksa untuk menerima insan lain. Lupakan. Serius. 

Bukan untuk aku menghalang. Tapi kita masih boleh memilih yang TERBAIK dalam kehidupan kita. Sebab, aku bimbang bakal ada rungutan dan sebagainya.

Agak sukar untuk menyatakan ini. Sebab seolah tidak menyokong. Bukan begitu niat aku. 

Nanti aku nyatakan secara terperinci kenapa dan mengapa.

Ok bye. Selamat hari raya sekali lagi.

Friday, 28 April 2017

7 bulan

Hai.

Baru tersedar, eh 2017 masih boleh ada coretan kat sini!

Hai lagi sekali!

Ada ke yang masih merindu coretan aku ni? Terima kasih yang sudi membaca ya. Masih ada insan lain kat luar sana yang rajin bertegur sapa dengan aku via email. Cuma aku je yang tak berkesempatan langsung untuk respons email kalian. InshaAllah aku balas pelan-pelan & satu persatu.

Alang-alang dah bercerita, meh la aku nak bagitau. Puteri kesayangan aku dah 7 bulan usia pada hari ini. Alhamdulillah.

Pandai merangkak dah si puteri kecik. Pandai nak panjat sofa pulak tuh. Gigi je belum tumbuh lagi. Muka sebijik laaaa bapak dia. Takpelah nak, yang penting kau & papa sihat walafiat! woah.

Rasa dalam diri, terima kasih Ya Allah. Kau berikan aku cahaya mata yang comel & sihat. Berikan aku rasa bahagia yang tak terhingga rasa dia.

Nikmat tuhan berikan. Namun kadang kala aku masih leka & lupa nak bersyukur.

Eh?

Kenapa berkata begitu?

Nantilah aku cerita ya kalau mood tu datangg untuk bercerita.

Ok bai.

Nanti aku singgah lagi. Banyaknyaaaa cerita aku nak kongsi!

Tuesday, 22 March 2016

Alhamdulillah

... Nak tambah cerita bahagia. 

Baby lambai-lambai & hisap jari masa scan semalam. Indahnya kuasa Tuhan! Baby sangat aktif. 

Anak mama 14 weeks dah sekarang. Meh nak belanja gamba. 


Semoga baby sihat & kuat ya macam mama & papa. *nak nangis lagi* huhu


Unwell

... Ahad semalam tika di awan biru, aku menangis-nangis esak sorang diri. Terkejut sebenarnya. Tiba-tiba bleeding. Rasa takut hilang baby & baik pulak pramugari tu pujuk-pujuk aku. Hihi

Sampai mendarat. Aku teruskan perjalanan & ke hospital. Aku dapat MC 3 hari. Manfaatkan 3 hari untuk berehat. Barangkali bercuti di semenanjung langsung tidak kenal erti rehat. 

Semoga baby mama baik-baik ya. Mama bimbang hilang kamu. *nangis*

Thursday, 25 February 2016

Alhamdulillah.

Syukur alhamdulillah.  Menangis mendapat perkhabaran ini. 

Semoga 'kami' diberikan kesihatan yang baik InshaAllah. 

Terima kasih ya Allah. 


Friday, 8 January 2016

Selamat Tahun Baru

Sudah hari ke-8 bagi tahun 2018. Lambat sungguh aku update!

SELAMAT TAHUN BARU buat semua. Semoga terusan mencipta kebahagiaan.

Ada banyak perkara yang aku mahu kongsi sebenarnya.

Okey takpe, tunggu entry yang seterusnya.

Friday, 20 November 2015

Can Hiv Positive People Have Babies?


InshaAllah & YES
 
Usaha dan yakin dengan ketentuan Allah.

klik untuk tumbesaran yang berjaya
 
SUMBER & kredit : here

Saturday, 14 November 2015

Semoga KITA SEMUA bahagia

 
Hai.
 
Hujung minggu yang ada sebelum aku bercuti panjang akhir tahun,  tak banyak perkara yang aku fikirkan. Tak sabar nak terbang  ke kampung halaman & bertemu Encik Suami.
 
Perkahwinan PJJ macam ni lah. Kerinduan memanjang.
 
So blog walking setelah sekian lama aku tak begitu rajin untuk membaca. Busy menjadi alasan yang memalukan.
 
Hmm.
 
Perkara yang mengejutkan aku & tak mengejutkan sangat. Sebab memang aku dah jangka begini akan aku jumpa.
 
Banyak belog yang aku jumpa adalah senasib dengan Encik Suami. Juga senasib isteri- isteri yang macam aku.
 
Alhamdulillah.
 
Bersyukur  atas nikmat bahagia derita. Semoga MEREKA terus kuat. Begitu juga KAMI.
 
Perkongsian yang sangat bersemangat aku baca. Ada yang sempat aku tinggalkan komen & ada yang sambil lalu.
 
Kalau ada kesempatan, mahu juga aku berkenalan dengan lebih mendalam dengan mereka. Bukanlah untuk berkongsi duka, hanya sekadar bekongsi pengalaman barangkali?
 
 
Semoga KAMI semua sentiasa dalam lindungan bahagiaMU ya Allah.
 
 

Tuesday, 10 November 2015

Makan Cili Terasa Pedasnya

 
Aku ni bukanlah kaki stalker.
 
Tapi kebetulan aku ternampak status itu dan aku termakan cili. Cili yang pedas lah pulak. Ada tak cili yang manis?
 
Perihal dunia maya.
 
Perihal dunia facebook.
 
Perihal dunia apa-apa ja.
 
Perihal yang berkaitan up status di mana-mana jua. Kalau orang tu tak mention nama kau, kau janganlah terasa hati. Mungkin status tu umum saja.
 
Aku selalu je fikir camtu. Sebab malas nak ambik pusing benda-benda ni semua.
 
Tapi peribahasa sapa yang makan cili pasti merasa pedasnya itu amat bermakna sekali. Eh?
 
Terscrool FB adik ipaq yang menyatakan...
 
 
 
MEMANG MAK BELA HANG SAMPAI BERJAYA NAK BELA ISTERI KAU JE.
#LELAKI
 
 
Baca je status tu aku perasan sorang-sorang.
 
Aku pun berduka lara sorang-sorang. HAHA.
 
Bila difikiran balik entah pape aku ni. Entah- entah adik aku tu tengok drama melayu ke apa. So dia up la status gitu. Padahal takde kena mengena dengan aku pun.
 
Tapi...
 
Aku macam terasa sebab abang dia sorang je yang kahwin. Aku sorang je isteri kepada abang dia.
 
Entahla.
 
Aku hanya mampu meluahkan kat sini. Nak mengadu-ngadu dengan cik abang tu tak mampu dah. Encik suami aku pun busy dengan kerja & masalah dia.
 
Tapi...
 
Kalau benar status tu untuk abang dia, maka sedikit terpalit pada aku yang menjadi isteri.
 
Akak nak adik tahu, abang awak ada kakak ipar awak ni je untuk dia berkeluh kesah tentang apa yang dia rasa.
 
 
Dengan kakak ipar awak ni, abang awak menangis kekesalan.
 
Dengan kakak ipar awak ni, abang awak menyimpan 1001 rahsia.
 
Dengan kakak ipar awak ni, abang awak berkongsi kesedihan.
 
 
Kakak ipar awak ni ditelan mati emak, diluah mati bapak.
 
 
Semoga adik faham suatu hari nanti. Mengapa abang awak sedikit melebihkan kakak ipar awak. Kalau betul abang awak itu melebihkan kakakmu ini  di mata kamu adik.
 
Sebab aku rasa macam biasa-biasa je.
 
Hmm...
 
Abang awak belum ada kekuatan untuk berterus terang dengan keluarga tentang apa yang dihadapi. Tentang istimewa virus yang ada dalam badan dia.
 
Kakak ipar awak ni yang berleter. Yang mengamuk. Yang moody sebab 24 jam jaga ubat yang abang awak perlu makan seumur hidup dia.
 
 
MAAFKAN KAMI ADIK.
 
Kami tak mampu nak puaskan hati semua pihak. Kami akan cuba yang terbaik akan menggembirakn keluarga kami. Suatu hari nanti adik akan tau dan perlu tahu...
 
P/S:
Nangis pulak aku taip entry ni. haha. Permaisuri hujan sungguh, T_T
 
 

Monday, 9 November 2015

Susah sebenarnya...

Hello.
 
Apa yang susah ni? *garu-garu kepala*
 
Takpela aku cerita jela. Bukan ada orang yang kenal aku pun kat sini.
 
Susah rupanya.
 
Susah nak mengandung. Upss.
 
Apakah?
 
Dulu. Aku bayangkan bahawa, sekali buat tupp terus jadi. Sengal gila kepala otak aku nih.
 
Rupanya TIDAK ya wahai sahabat-sahabat. Perlu bersabar dan gigih dan redha menanti rezeki yang Allah nak bagi. Kalau Tuhan cakap belum. Maka belum lah.
 
Lantas sel otak aku berhubung memikirkan, anak luar nikah tu senang je menjadi. Kan? Pulak dah jadi di buang sesuka hati. Kalau rasa tak nak tu, tolonglah buang or letak tempat yang selamat. Jangan duk campak-campak buang entah mana-mana sampai baby meninggal. Sedih tau.
 
Aku ni duk bersembang dengan keluarga aku tanya-tanya kakak-kakak aku yang meriah tu. Kenapa aku ni lambat pulak melekat. Sebab family aku ni subur-subur belaka. Lepas sebulan kahwen terus bunting pelamin belaka. Maka aku pun perasan bahawa aku ni subur.
 
HIHI *
 
 
Tapi mereka tak taulah kisah di sebalik tabir adik dia ni.
 
Tula kan.. Kalau boleh. Selagi suami aku sihat walafiat macam sekarang ni, aku nak la ada baby. Sementara boleh besarkan sama-sama dengan penuh kasih saying. Ecewah.  Kang kalau lah ditakdrikan suami aku dah mula tak sihat dan melarat. Astagfirllahalazim.
 
Jauh benar aku fikir.
 
InshaAllah ada lah kan. Jangan stress. Perancangan Tuhan tu sangat cantik pada hambaNya.
 
 
 
Doakan yang baik-baik untuk aku dan suami. Dapat zuriat yang sihat juga hendaknya.
 
Amen.
 
 
 

Sunday, 25 October 2015

Sahabat Rumah

 
...
 
Kawan serumah aku dua tiga minggu ni aku tengok bermuram durjana.
 
Sepatah aku tanya, sepatah jugak dia jawab.
 
Bila petang selalu hilang dan balik bila dah hari gelap malam. Entah apalah masalah dia.
 
Terasa hati dengan aku ke?
 
Aku buat salah ke?
 
Aku buat dia kecik hati ke?
 
Ah.
 
Aku malas nak tanya banyak sebab aku pun banyak kerja nak kena selesaikan. Aku jugak ada masalah aku sendiri.
 
Tapi tiba-tiba satu hari dia mencurahkan rasa. Masa tu tengah keluar makan tengahari. Aku berusaha menjadi telinga pada kawan serumah aku ni.
 
Aku tenang je mendengar luahan hati dia.
 
Ayat pertama dia cakap...
 
" Kawan baik yang aku kenal dari kecik,  dia ada HIV POSITIF. Aku tak percaya. Dia baik, dia tak pernah tinggal solat. Dia berkerjaya hebat".
 
Berderu-deru air mata dia mengalir. Aku mendengar dengan tenang. Aku langsung tidak terkejut.
 
Cuma kekesalan dalam hati aku, semakin banyak benda ni berlaku di sekeliling aku. Walaupun aku tak kenal, tapi insan itu adalah yang beragama islam dan masih muda.  Kenapa?
 
Sebenarnya kawan serumah aku ni tak tau pun apa yang berlaku dalam hidup aku ni. Apa yang aku rasa. Apa yang aku lalui. Aku memang tak cerita sesuka hati pada kawan-kawan.  So aku pura-pura terkejut.
 
Hmmm.
 
Kita memang takkan kenal siapa pun orang di sekeliling kita. Kita nampak dia kaki surau barangkali., itu bukan penentu dia tak melakukan aktiviti yang berisiko. Paranoid kah aku?
 
Mengeluh sekali lagi.
 
Apa yang aku nak katakan, dalam dunia kemodenan kini. Mereka yang terlibat dengan aktiviti yang berisiko sering kali adalah insan yang hebat. Hebat kerjaya. Hebat paras rupa. Maka hebat juga dugaan Tuhan pada mereka.
 
Wallahualam.
 
 
Semoga keluarga aku terus dilindungi. Juga insan-insan lain di luar sana juga. Ameen.
 
 
p/s - Hari-hari aku mendengar keluhan kawan aku ni. Sangat negative pemikiran kawan aku ni. Macam biasa, STIGMA. Aku pelan-pelan bagitau apa hakikat sebenar supaya dia tau dan akan lebih berfikiran yang baik-baik. Nanti aku cerita apa yang berlaku seterusnya.
 
 
 

Wednesday, 7 October 2015

Adik Perempuan

 
Adik beradik aku memang meriah.
 
Hampir sepuluh beradik, perempuan yang menguasai semuanya.
 
Tapi berbeza dengan keluarga Encik Suami.
 
Dia ada ramai adik beradik lelaki & hanya dikurniakan seorang adik perempuan. Maka tidak heran kalau kadang-kadang adik dia tu macam out spoken dan sedikit sikap cara ganas walaupun muka ayu. Tapi memang ayu & cantik. HEHE
 
Sebab memang aku faham dia dibesarkan barangkali dengan sikap ganas abang-abang dia yang ganas.
 
Berbeza dengan keluarga aku.
 
Kalau zaman kecik-kecik, orang perempuan gaduh paling hebat pun tarik-tarik rambut. Tak pun, tampar manja-manja.
 
Nak penumbuk Goku pun tak pandai. Tak ada gaya.
 
Apa yang aku nak cakapkan kat sini. Aku nampak yang encik Suami sangat-sangat menjaga adik perempuan dia.
 
Aku pun jaga jugak. Tapi cara aku lain.
 
Cara seorang kakak menegur adik. Berbeza. Sebab aku tau kehendak perempuan.
 
Cara abang menegur adik juga berbeza. Sebab dia tau apa keinginan lelaki barangkali.
 
Aku cuba untuk melayan adik ipar aku macam cara aku sebagai kakak. Sama macam adik kandung aku sendiri. Tidak sesekali membezakan.
 
Aku ni memang kadang-kadang garang dan emosi.
 
Tapi aku tak nafikan, aku mudah untuk memberi duit belanja atau apa-apa yang berkaitan dengan wang. Sebab memang tanggungjawab kakak untuk jaga kewangan adik. Kesian nak harap mak ayah yang semakin uzur.
 
Sebab, pernah adik aku buat masalah  dulu. Daripada dapat duit belanja & topap setiap bulan. Sekarang ni 1 sen pun tak berani mintak kat aku. Dan dengan cara tu, aku harap dia sedar & tak ulang perangai lama.
 
Tapi, aku berusaha tidak treat adik ipar aku macam tu.
 
Sebab dia dah besar dan aku cuba untuk ambik hati. Walaupun kadang-kadang macam susah. Tapi aku terus belajar jangan mudah ambik hati. Mahukan sesuatu kemanisan memang memerlukan masa.
 
Aku pernah Tanya Encik Suami,
 
" Kenapa garang & tegas sangat dengan adik awak. Dia dah besar, InshaAllah dia pandai jaga diri. Kenapa awak nak marah dia deting. Kita bercinta dulu pun deting kan? "
 
Selamba je dia cakap,
 
" Saya lelaki & saya tau lelaki fikirkan apa. Saya tau perangai lelaki"
 
Aku cuma cakap,
 
" Hmmm okey. Tapi bagi ruang pada dia. Dia pun remaja. Saya pun dulu macam dia. Dia perlu ruang"
 
Encik Suami menjawab lagi.
 
" Saya dah buat 1001 penyesalan dalam hidup saya. Salah ke saya berusaha selamatkan adik saya? Kerana ada ruang untuk diri saya sendiri, saya ada HIV. Salah ke? Salah? "
 
Gulp. Aku diam.
 
Sampai sekarang daripada kes tu. Aku tak komen apa-apa.  Aku tak bincang lagi pasal tu.  Terus bernoktah di situ.
 
Encik suami mesti tau apa yang terbaik untuk adik dia dan orang di sekeliling dia.
 
Sebab tu...
 
Sebenarnya ada satu peristiwa yang menyebabkan aku kesal sampai sekarang. Aku dah hilangkan rasa percaya adik ipar aku pada aku.
 
Sebab.. aku bagitau pada abang dia, yang adik dia merokok. Ya. Merokok dalam kereta aku.
 
Mungkin satu ketika, adik ipar aku sudah rasa percaya pada aku. Maka dia sungguh yakin untuk merokok sebelah aku tanpa rasa bersalah. Mungkin dia rasa percaya bahawa aku akan rahsiakan perkara itu.
 
Sebenarnya, aku tak pernah kisah langsung tentang tu. Sungguh. Memang dalam kalangan kawan-kawan aku, perempuan merokok tu adalah perkara yang sangat biasa.
 
Dalam kalangan sahabat-sahabat Encik Suami pun, ramai perempuan yang merokok tanpa rasa serba salah. 
 
Maka aku beranggapan, Encik Suami tak kisah pun.
 
Anggapan aku 150% SALAH.
 
Juga sebenarnya, kondisi Encik Suami tika itu sangat lemah & tidak sihat, tetapi perlu terus gagah membantu adiknya dalam satu peristiwa.
 
Tambahan pula, terusan aku mendengar pelbagai keluhan,  ragam dan kerenah si adik ipar . Aku tanpa rasa bersalah berterus terang perihal itu. Bukan untuk mengusutkan keadaan sebenarnya.
 
Aku terlepas pandang,  dengan kondisi Encik Suami yang begitu & pasti dia mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk adik perempuan dia. Mana mungkin dia akan lepas tangan begitu sahaja.
 
Aku serba salah ya  amat.
 
Aku tak tau sampai sekarang sebenarnya, macam mana & bagaimana Encik Suami menegur adik ipar aku tu. Tapi yang aku tau,  adik ipar aku sangat marah dan dia hilang percaya 200% pada aku.
 
Aku gaduh lepas tu. Gaduh besar dengan Encik Suami. Hampir mengundur diri dalam hubungan kami.
 
Aku menyalahkan Encik Suami kerana dia dah meruntuhkan hubungan baik aku dengan adik dia. Tapi Encik Suami langsung tak melayan aku. Dia tidak peduli pada emosi marah aku.
 
Malah dia menyatakan;
 
" Kalau saya tau awak sebenarnya tau, tapi tak bagitau langsung kat saya. Keadaan akan lebih teruk dari ni. Saya yang tak akan percayakan awak sampai bila-bila"
 
Terkedu.
 
... dan peristiwa tu berlalu tanpa aku ungkit lagi sehingga kini. Aku terus memujuk  hati. Setiap yang dilakukan ini pasti ada sebab dan hikmah  tersendiri.
 
Aku perlu menyokong suami aku. Siapa lagi yang perlu menjadi tulang belakang pada suami kalau bukan aku. Mana mungkin orang lain?
 
Walaupun kini aku sedar, adik ipar aku dah tak percaya apa-apa pada aku. Sedih. Tapi aku tetap telan dan hadam.
 
Kita tak boleh nak paksa orang percaya pada kita.
 
Aku harap, suatu hari nanti. Adik ipar aku akan tau dan faham mengapa tindakan aku sebegini. Bukan sengaja untuk aku meruntuhkan tembok kepercayaan ini.
 
Sekiranya kau tahu keadaan abang yang kau sayangi ini, kau akan lebih matang dan memuhasabah diri.
 
Hanya satu ungkapan untuk kisah ini,
 
 
 
Kerana  kasihnya cinta seorang abang...
 
 
 

Monday, 5 October 2015

Kisah sahabat | Suami yang curang

Dugaan.
 
Ya.
 
Dugaan setiap orang itu berbeza-beza.
 
Apatah lagi dalam dunia perkahwinan kini.
 
Dapat teks dari sahabat baik masa aku zaman university dulu.
 
" Perkahwinan adalah satu perjudian"
 
Menusuk kalbu sungguh text yang aku dapat petang tadi. Terus aku berfikir jauh. Sungguhkah begitu apa yang sahabatku maksudkan?
 
Aku ni memperjudikan hidup ke?
 
Ah tidak. Ini semua adalah pilihan. Pilihan aku untuk bahagia dengan cara yang sebegini. Walaupun cara untuk aku bahagia ni lain macam. Yeke?
 
Kenapa eh mudah untuk suami curang?
 
Aku tidak memihak pada siapa-siapa. Mungkin ada kurangnya dari pihak perempuan. Mungkin jugak kurang dari pihak lelaki.
 
Sedangkan mereka dulu cintan cintun sehati sejiwa masa zaman university dulu.
 
Aku tidak berhasrat untuk berfikir lebih jauh. Aku hanya menyalurkan simpati dan doakan yang baik-baik saja. Semoga tidak terus melatah.
 
 
 
Ini semua arus menuju kematangan dalam diri.
 
Dugaan kita berbeza.
 
Ketabahan kita juga berbeza.
 
Semoga rasa bahagia kita adalah sama. Terus bahagia pada yang Esa.
 
 
XOXO

Alfatihah Arwah Abang Pie

Sayu.
 
Itu je yang aku dapat nyatakan tika aku sedang mencoret di sini.
 
Sungguh, ajal maut jodoh itu semua ketentuan Tuhan.
 
Berat mata memandang, berat lagi hati ahli keluarga arwah abang Pie yang menanggung. Salam takziah buat Kak Da & Kak Ummie.
 
Rasa kehilangan teramat sangat. Arwah lah  yang selalu aku hubungi tika aku dalam dilema dahulu. Arwah juga banyak membantu aku dalam mengurus emosi sebelum membuat keputusan nak berkahwin.
 
Aku ingat lagi, aku nikah 29 Mei 2015 hari Jumaat.
 
Tiba-tiba aku mendapat perkhabaran pada hari Selasa ke Rabu camtu, arwah telah meninggal dunia.
 
Ya.
 
Sampai hari ini aku masih sayu.
 
Dua tiga hari sebelum aku bernikah, arwah sudah pergi selama-lamnya. Belum sempat aku berkongsi kegembiraan.
 
Hanya doa setiap kali solat aku titipkan.
 
 
Semoga arwah Abang Pie tenang di sana.
(kredit gambar dari FB Kak Ummie)
 
Al-fatihah.
 
 
 
Panjangkan usia suamiku Ya Allah. Berikanlah kesihatan yang baik pada suamiku. Kekalkan rasa bahagia ini Ya Allah. Kau berikanlah aku ketabahan untuk terus bersyukur atas segala nikmat yang Kau beri.