Thursday 30 January 2014

DEDIKASI KHAS UNTUK PARA GADIS YANG NEKAD MAHU BERKAHWIN DENGAN ORANG YANG HIDUP DENGAN HIV (ODHA)


Hype.

Sejujurnya last week aku memang ada pm Abang Pie untuk mintak pendapat sikit. Tapi tak sempat nak bertanya panjang sebab  aku risau akan menganggu beliau.

Jugak ada pm Abang Najmi sebelum-sebelum tu. Rasanya ramai yang kenal mereka nih as a blogger secara tidak langsung kalau banyak baca artikel tentang HIV dan perkara-perkara yang berkaitan.

Alkisahnya...
 
Aku rasa bukan aku saja, ada jugak gegadis yang sama situasi dengan aku. Buat apa yang aku buat sekarang. Sebab... nak mencari kepastian dan kekuatan diri.  Jadi sibuklah ke sana dan ke sini mencari sesuatu yang tak pasti.

Maka dalam hari Isnin yang lepas datang kerja, pagi-pagi kerja aku bukak belog dan baca mana-mana yang patut. Dan terbaca entry seperti yang di bawah. Dua tiga kali aku ulang baca.

Sumpah berdebar-debar! Sebijik macam aku nih. Itulah pepatah siapa yang makan cili, akan terasa pedasnya.hehe.

 
* * *


 " Sejujurnya ini adalah antara entri yang sangat berat untuk aku kongsikan secara terbuka. Aku tahu ianya melibatkan sensitiviti banyak pihak. Mungkin ramai yang akan terasa hati. Akibatnya aku mungkin dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan bakal kehilangan kawan.

Tetapi, apabila semakin hari semakin banyak aku berdepan dengan isu tersebut, kadangkala aku bingung kerana aku tahu isu ini menyebabkan golongan yang teraniaya semakin teraniaya.

Begini.

Perempuan, apabila menghubungiku meminta pandangan untuk mendirikan rumahtangga bersama ODHA, biasanya yang mereka risaukan ialah adakah mereka berisiko dijangkiti, peluang bakal suami hidup sihat, peluang mendapat zuriat bebas HIV, rawatan, masa depan, dan sebagainya. Memang dalam soal tersebut sebenarnya tidak ada banyak masalah.

Semangat mereka pula biasanya sangat berkobar-kobar. Rela berkorban dan sungguh setia. Malahan kadang-kadang lebih teruja untuk membantu bakal suami. Setakat tolong temankan bakal suami jumpa doktor itu, doktor ini, telefon sana, telefon sini untuk dapatkan pandangan atau berikan sokongan, itu standard! Malah, belum apa-apa lagi ada yang sibuk hendak menjadi supporter dan volunteer. Memang bagus, tetapi tidak semudah itu, dik. Banyak perkara yang perlu difahami terlebih dahulu.

Mereka selalunya panik, sangat risau jika perkahwinanterpaksa dibatalkan. Boleh difahami. Maklum sahaja tarikh perkahwinan semakin hampir sedangkan result ujian saringan HIV pra perkahwinan baru saja diketahui. Mana mereka hendak letak muka kerana semua ahli keluarga sudah tahu, kad jemputan ke majlis perkahwinan telah diedarkan, dan macam-macam persediaan telah dibuat.

Ibu dan bapa pula sangat teruja kerana bakal menerima calon menantu mithali. Apa tidaknya – tutur kata lemah lembut, pengetahuan agama boleh tahan, gentleman, punya karier memuaskan, pembersih, rajin di dapur, hormat orang tua, aktif bersukan, tubuh badan sedap mata memandang (six pack), dressing meletup, dan banyak kelebihan dalam macam-macam perkara. Arghhh… mudah cerita memang ‘sempurnalah’!

Tolonglah faham…

Di sebalik semua perkara tersebut, ada perkara yang aku rasa lebih penting yang perlu mereka faham betul-betul sebelum meneruskan hasrat. Hendak diterangkan secara terbuka di blog ini, bimbang menimbulkan salah faham dan lebih banyak stigma. Tidak diterangkan pun salah. Jadi, ini sahajalah kemampuan dan pertolongan yang mampu aku berikan. Setiap hari aku berdepan dengan pelbagai kerenah dan suka duka komuniti. Aku tahu permainan emosi dan psikologi komuniti. Aku tahu beberapa perkara penting yang orang awam tidak tahu.

Keutamaan aku adalah untuk menjaga kebajikan pihak perempuan. Di penghujung segala ujian, perempuanlah yang biasanya menjadi mangsa sebenarya. Peliknya, aku yang cuba membantu dianggap cuba menghalang hasrat mereka. Akibat denial tentang perkara yang mereka tidak sanggup fikirkan atau langsung tidak faham atau memang sengaja tidak mahu faham, atau cuma mahu faham secara berpilih, aku pula dijadikannya musuh.

* * *

Kalau diterangkan pun, belum apa-apa mereka anggap sudah faham semua perkara. Lebih teruk, semua perkara yang aku cuba minta mereka fikirkan betul-betul dianggap tidak penting. Apabila aku cadangkan untuk berjumpa kaunselor jika tidak mempercayai aku, mereka anggap remeh.

Jika sudah kemaruk cinta, kita cakap apa pun tidak berguna. Semuanya mereka anggap mudah dan boleh diatasi. Yang penting bagi mereka, mereka hendak berkahwin. Jika dinasihatkan, mereka kata mereka tahu bahawa perkahwinan ini soal amanah dan tanggungjawab. Sudah pertimbangkan macam-macam perkara. Sudah istisyarah dan istikharah. Tahu bahawa ini komitmen seumur hidup. Sudah dapat restu keluarga. Betulkah keluarga memang faham semua persoalan ini? 

 Sudahnya, selepas sebulan dua berkahwin mulalah sibuk hubungi aku semula. Sudahnya ada yang berkahwin sehingga 5 – 6 tahun tidak pernah disentuh suami. Atau, walaupun mempunyai ramai anak dan kelihatan normal sebagai keluarga biasa, tetapi hakikat sebenar ujian hidup, Tuhan sahaja yang tahu. Alami deraan dan trauma mental yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat. Sendirian.

Kalau sekadar mahu dengar pandangan yang menyenangkan hati, terpulanglah. Kalau sudah hendak kahwin sangat, kahwinlah. Tidak ada kena-mengena dengan aku. Aku doakan yang baik-baik sahaja.

Jadi, kepada yang berfikiran terbuka dan rasional, cuba fahamkan betul-betul apa yang tersirat di sebalik perkongsian ini. Jika ada perkara yang belum pasti, boleh sahaja hubungi aku. Tetapi sebaik-baiknya telefonlah. Aku tidak larat hendak berbalas-balas e-mel, SMS, FB messages, dan Whatsapp panjang lebar. Banyak perkara yang perlu aku uruskan.

Tetapi janganlah anggap bahawa apabila aku kongsikan isu ini, aku bermaksud menghalang perkahwinan dengan ODHA. Relax la. Aku sendiri pun ODHA. Mustahil aku tergamak hendak halang orang mahu bina masjid. Aku memang sokong pun. Malah aku sentiasa cuba temukan jodoh yang serasi. Ramai sahaja yang sudah berkahwin dan hidup bahagia.

Apa yang aku maksudkan, cuba berfikir secara rasional. Cuba minimakan risiko tertentu yang jauh lebih dahsyat berbanding HIV. HIV terlalu simple untuk difahami. Tetapi, attitude manusia, masya Allah! Ingatlah. Kesilapan sekarang mungkin akan memberikan kesan seumur hidup.


* * *


Beberapa tips mudah

-       Pastikan bakal suami menitikberatkan tuntutan solat dan nilai-nilai agama.

-       Cuba kenali rakan-rakan rapat bakal suami. Perhatikan cara pergaulan dan aktiviti mereka. Jangan sampai kelihatan mengongkong atau buruk sangka.

-       Pastikan bakal suami memang seorang yang jujur. Jika selalu dan pernah berdolak-dalih, serta merahsiakan sesuatu yang sepatutnya tidak perlu dirahsiakan, berhati-hatilah.

-       Strong character, stabil emosi dan psikologi. Jika selalu down, moody, sering minta dibantu, difahami, dan merajuk mengalahkan anda sendiri seorang perempuan, sila fikirkan kembali keputusan anda.

-       Terlalu perfectionist, ego, dingin, keras hati, mendesak, mengongkong, dan sukar menerima kelemahan anda. Ianya mungkin petanda-petanda negatif.

-       Memahami perasaan dan tekanan anda sebagai bakal isteri dan sentiasa bersedia memberikan sokongan bila-bila perlu. Bersedia menerima segala kekuatan dan kelemahan anda.

-       Memahami maklumat asas HIV, bersedia menjalani rawatan dan patuh kepada rawatan. Faham merangkumi, tahu cara mengelakkan jangkitan, dan bersedia mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan. Faham cara untuk mendapatkan zuriat bebas HIV. Sentiasa berfikiran dan bersikap positif. "

KREDIT HERE :
Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


* * *


Sampai sekarang hati aku terkesan dengan kenyataan yang kat bawah ni...

 "Lebih baik menangis sekarang daripada menangis seumur hidup selepas segalanya dah terjadi." 

Adakah aku perlu menangis lagi? Tapi kali nih nangis dia lain macam sikit nih.

Aku pernah menangis bertahun lamanya sebelum ni, dan apabila aku menemui si kekasih hati. Aku ingat aku dah tak nak nangis dah. Tapi nih nangis lagi teruk. Kan?

Nanti lah aku cerita kenapa aku nangis teruk sebelum ni. Banyak cerita yang aku nak kongsi, tapi masa sangat terhad dengan kerjaya aku sekarang.

Mood tengah jatuh, rasa macam tak nak kahwin sampai bila-bila! HEHE. (Biasalah ayat pompuan tengah kuciwa)

Tapi satu kenyataan ni pun terkadang buat aku lega,

"Akan ada pelangi selepas hujan..." 

Tapi dalam kes aku ni, aku belum dapat rasa pelangi tu. Mungkin ada? Mungkin tak ada? Tapi kita kena percaya, ketentuan Allah itu sangat cantik.

 

Wassalam.

 

2 comments:

Mak Wardah said...

Anda pasti temui pelangi tersebut, moga allah mudahkan semuanya.

Unknown said...

ita,

satu je bella nk cakap..... sekiranya ita redha...ikhlas menerima keadaan dia mcm tu, insya Allah ..tidak akan timbul masalah.. dan ita kena sentiasa bersama dia...macam bella, mungkin satu faktor adalah..kami berjauhan.... tuntutan kerja bella tidak mengizinkan bella tnggal bersama...bukan tidak pernah bella berfikir untuk berhenti kerja tetapi keadaan kewangan tidak mengizinkan kami

cuma, kecekalan dan ketabahan ita akn dituntut sekirnya ita memilih bersama dia... betul apa yg AHP cakap... kdang sebab rs cinta tu, semua sanggup...

bella masa tahu status didi pun... terkedu...kami memilih untuk bertanya pada ustaz dan lain2...walau pun bukan seperti yang bella harapkan..bella sedikit tidak menyesal memilih didi sebagai suami... dia suami yg baik seandainya dia tidak terlibat dengan semua aktiviti ini..

tabahlah.... pelangi yg ita cari, insya Allah akan ditemui.. ujian Allah bagi ni, anggaplah penebus dosa kita....

salam sayang,

bella bubu